Thursday, 2 October 2014

WANITA DIMINTA TINGKATKAN BUDAYA BERPERSATUAN

Tawau |

|
Print

Hamisa Samat merakamkan gambar kenangan bersama ahli-ahli Pewasa cawangan Tawau selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Pewasa cawangan Tawau di Dewan Cafe Kak Midah, Jalan Air Panas, Tawau di sini kelmarin.

Kaum wanita adalah aset yang amat berharga dalam menentukan arah pembangunan negara pada masa akan datang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Batu, Datuk Hamisa Samat berkata kualiti dan keupayaan yang dimiliki kaum wanita amat besar, wanita juga dikatakan penentu jatuh bangun sesebuah institusi keluarga.

Beliau berkata melalui pengurusan rumah tangga yang baik, wanita yang bergelar isteri dan ibu dapat bertindak sebagai penjana keluarga bahagia sekali gus sebagai agen untuk membendung gejala sosial.

Katanya penyertaan wanita dalam aktiviti berpersatuan berupaya memperkukuhkan pembentukan sahsiah yang positif.

“Memahami hakikat inilah Persatuan Wanita Sabah (PEWASA) cawangan Tawau sentiasa menggalakkan penglibatan semua ahli dalam aktiviti bagi merangsang dan membina sahsiah yang mulia,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Mesyuarat Tahunan Pewasa cawangan Tawau di Dewan Cafe Kak Midah, Jalan Air Panas, Tawau di sini kelmarin.

Turut hadir sama Pengerusi Pewasa Tawau, Naimah Maidin serta ahli-ahli Pewasa Tawau dan jawatankuasanya.

Sebahagian ahli-ahli Pewasa yang menghadiri Mesyuarat Tahunan Pewasa cawangan Tawau di Dewan Cafe Kak Midah, Jalan Air Panas, Tawau di sini kelmarin.

Hamisa yang juga Penaung Pewasa cawangan Tawau menggesa setiap ahli agar melibatkan diri dengan pelbagai kegiatan yang bertujuan membentuk sifat kepimpinan selain bertujuan memupuk disiplin diri.

Katanya, ramai wanita yang aktif dalam pelbagai kegiatan telah membuktikan, pada masa yang sama mereka dapat melaksanakan pelbagai peranan.

“Kesibukan melaksanakan tanggungjawab sebagai pekerja, wanita, isteri dan ibu bukan alasan untuk mengelakkan diri daripada berpersatuan.

“Apa yang penting ialah keupayaan kita menyeimbangkan tanggungjawab itu dan pada masa yang sama dapat menimba pengalaman serta ilmu melalui aktiviti berpersatuan,” jelasnya.

Jelas Hamisa melalui berpersatuan membolehkan setiap ahli berkumpul dan berkenal-kenalan antara satu sama lain sambil mewujudkan semangat ukhwah.

Tambah Hamisa beliau percaya Pewasa mempunyai kebolehan dan berupaya memikirkan cara-cara sesuai membantu mencapai matalamat yang telah direncanakan serta mengatur dan mengadakan program yang lebih berkesan pada masa akan datang.

“Jangan ada diantara ahli-ahli mudah patah semangat atas apa jua dugaan dan cabaran dalam kita berpersatuan. Saya berharap kepada Pewasa Tawau agar dapat menggunakan kesempatan yang ada untuk berbincang, bertukar-tukar fikiran dan pendapat mengenai rancangan, aktiviti kerja yang boleh diadakan untuk mencapai objektif berpersatuan.

Hamisa sedang melit atur cara Mesyuarat Tahunan Pewasa cawangan Tawau di Dewan Cafe Kak Midah, Jalan Air Panas, Tawau di sini kelmarin.

Tegas beliau semangat kerjasama dan berpasukan antara ahli-ahli Pewasa hendaklah diamalkan agar ia terus kekal dan berkembang

“Apa yang penting Pewasa cawangan Tawau akan terus meningkatkan mutu program bagi memastikan peserta sentiasa mendapat manfaat,” katanya.

Beliau juga percaya, aktiviti yang bermutu boleh menjadi faktor tarikan kepada wanita untuk menyertai dan menjadi ahli persatuan berkenaan.

“Berpersatuan juga sebagai satu cara mendekati dan mengeratkan hubungan antara ahli-ahli persatuan dan masyarakat.

“Selain itu, apa yang lebih penting ialah dapat mewujudkan serta mengekalkan sikap kerjasama dan saling berkongsi pengalaman di kalangan ahli,” jelasnya.

Menurut beliau, memandangkan sebahagian besar ahli terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen tersendiri dalam kerja dan rumah tangga, hanya segelintir sahaja yang aktif berpersatuan.

“Sebenarnya dengan aktiviti berpersatuan ini sahajalah hubungan di kalangan ahli dapat dijalinkan, lebih-lebih lagi bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan dengan hal ehwal wanita,” katanya.

Beliau seterusnya menjelaskan, pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh Pewasa Tawau yang tidak hanya melibatkan ahli-ahli persatuan tetapi juga masyarakat luar.

Apa yang penting, katanya, sekarang ini ramai yang bersedia untuk melibatkan diri dengan sebarang aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan.

Komen

Tiada komen buat sementara