Wednesday, 16 April 2014

AHLI UMNO JANGAN SABOTAJ : AMPONG

Sandakan |

|
Print

Ampong Puyon menyampaikan cenderahati kepada wakil Badan Perhubungan UMNO Sabah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Arifin Asgali

Ahli UMNO daripada segenap lapisan diingatkan sentiasa menjadikan slogan “Bersatu, Bersedia, Berkhidmat” sebagai budaya ketika berjuang untuk kelangsungan parti.

Ketua Bahagian UMNO Sandakan, Tan Sri Haji Ampong Haji Puyon berkata, perkara itu penting agar UMNO yang telah wujud sejak sekian lama terus kukuh dengan kepimpinan sedia ada.

Menurutnya, bagi tujuan itu, setiap ahli perlu berjuang dengan menjiwai setiap garis panduan perjuangan dengan hati yang ikhlas bagi memastikan negara terus maju sebagai bangsa yang kuat dan dihormati oleh semua bangsa-bangsa di dunia.

Beliau berucap pada Mesyuarat Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sandakan di Dewan Masyarakat Sandakan di sini hari ini.

Majlis perasmian mesyuarat UMNO Zon 5 sebelum ini telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di Dewan Sri Libaran pada 2 September lalu ketika melakukan lawatan kerja ke Sandakan.

Menurutnya, perjuangan terbaik setiap ahli adalah mengekalkan kemenangan setiap calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada setiap pilihan raya berlangsung.

Ampong turut mengingatkan agar setiap ahli tidak melakukan perbuatan sabotaj sekiranya tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya akan datang sebaliknya perlu menunjukkan kematangan membantu calon memenangi kerusi ditandingi.

Jelas beliau lagi ahli UMNO dam BN diminta sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan BN terus kekal sebagai tunjang dan tulang belakang kepada parti dalam usaha meraih sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang.

“Semua lapisan kepimpinan perlu mengekalkan perpaduan dan kesetiaan kepada parti sekali gus menolak sebarang unsur perpecahan.

Menurut beliau, dalam persiapan menghadapi pilihan raya semua pihak perlu berlapang dada dan mengetepikan apa juga persengketaan sesama sendiri terutama isu-isu remeh yang boleh diselesaikan secara baik.

“Kita sekarang ini berada di ambang pilihan raya, iaitu tempoh masa untuk mendapatkan semua mandat rakyat bagi membolehkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus kekal memerintah negeri Sabah dan negara.

“Kita semua perlu bersatu dan saling bekerjasama menggembleng tenaga agar calon-calon UMNO dan BN terus beroleh kemenangan,” katanya.

Katanya, melalui kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Aman dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib jelas membuktikan bahawa mereka mampu mentadbir negeri Sabah dan negara dengan cemerlang.

Hadir sama pada majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Elopura, Au Kam Wah dan wakil Badan Perhubungan UMNO Sabah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Arifin Asgali, Ketua Wanita UMNo bahagian, Asnah Tahli, Ketua Pemuda, Awang Kadin Tang, Ketua Puteri, Siti Haiba Majid serta ahli jawatakuasa bahagian dan para perwakilan UMNO bahagian.

Komen

Tiada komen buat sementara